Tuesday, 8 July 2014

Info on Stock Susu Ibu

Jumpa info ni..tp terlupa jumpa di blog mana...hehehe..

Info buat ibu-ibu menyusu..

Bayangkan anda sudah bersusah payah membuat stok susu perahan sebanyak 200 oz yang dibekukan untuk diminum oleh bayi anda apabila anda kembali bekerja…tetapi bayi anda menolak susu tersebut apabila diberi kepadanya setelah dicairkan dan dipanaskan. Dicuba beberapa kali, bayi tetap juga tidak mahu minum susu perahan itu.

Anda juga pasti ia bukan disebabkan oleh bayi tidak mahu botol sebab bayi anda sudah dilatih minum dari botol sebelum anda kembali bekerja. Jadi, kenapa bayi anda menolak susu perahan yang sudah dicairkan dan dipanaskan itu? Apa akan jadi dengan stok susu perahan ini semua? Adakah anda kena buang kesemuanya?

Susu perahan yang telah rosak mempunyai rasa masam dan bau yang tidak menyenangkan…lebih kurang seperti makanan yang telah rosak. Jika susu perahan tidak ada rasa dan bau seperti itu, susu itu selamat untuk diberikan kepada bayi anda.

Jika anda perasan masih ada bau dan rasa yang kurang segar pada susu perahan tersebut, anda mungkin boleh menilai kembali prosedur simpanan stok susu perahan anda bagi mengurangkan bau dan rasa yang kurang segar itu. 

  • Jika anda menjangkakan susu perahan tidak akan digunakan dalam masa 5-8 hari selepas diperah, masukkan terus ke dalam freezer untuk dibekukan.
  • Pastikan bekas simpanan susu perahan ditutup rapat supaya tiada bau lain meresap masuk ke dalam susu semasa dalam peti sejuk / freezer.
  • Adakah freezer anda cukup sejuk? Kalau freezer anda membuat aiskrim kekal keras, itu tandanya freezer anda berada di tahap suhu yang betul.

Beberapa ibu mendapati bahawa susu mereka yang disejukkan atau dibekukan mula berbau atau merasa seperti sabun, walaupun semua garis panduan penyimpanan telah diikuti dengan teliti. Lebih lama disimpan dalam freezer, lebih kuat perubahan pada bau dan rasanya. Terdapat  spekulasi bahawa ibu-ibu ini mempunyai lebihan enzim “lipase” dalam susu mereka, yang akan mula memecahkan lemak susu selepas susu diperah. Kebanyakan bayi boleh menerima perubahan yang sedikit pada rasa, dan susu itu tidak merbahaya, tetapi jika rasanya kuat, kemungkinan besar bayi akan menolaknya.

Apakah enzim “lipase”? Ia biasanya hadir dalam susu ibu dan mempunyai beberapa fungsi yang dikenalpasti bermanfaat:

  • “lipase” membantu mengekalkan percampuran lemak susu dengan “whey” susu secara baik, dan juga memastikan bentuk lemak kecil supaya mudah dihadam oleh bayi.
  • “lipase” turut membantu memecahkan lemak dalam susu, supaya nutrien larut lemak (vitamin A & D), dan asid lemak bebas (yang membantu melindungi bayi daripada penyakit) mudah didapati untuk bayi
  • “lipase” juga telah didapati menjadi faktor utama melumpuhkan protozoa (sejenis mikroorganisma yang boleh membuat kita sakit)

Apa yang boleh dilakukan sekiranya masalah penyimpanan itu disebabkan oleh lebihan “lipase”? Apabila susu sudah menjadi masam atau berbau kurang elok, tidak ada cara yang dikenalpasti untuk menyelamatkan ia. Walau bagaimanapun, susu yang baru diperah boleh disimpan dengan memanaskan susu (dipanggil “scalding”) terlebih dahulu sebelum dibekukan. Apabila susu dipanaskan, “lipase” tidak dapat berfungsi dan ini akan menghentikan proses pencernaan lemak.

Untuk memanaskan (scalding) susu:

  • Panaskan susu sehingga suhu naik ke 82 C, atau sehingga anda melihat buih-buih kecil di tepi periuk (gambar seperti di atas – jangan biarkan ia sehingga mendidih penuh).
  • Kemudian sejukkan susu sebelum disimpan dalam freezer.

Melalui cara ini, beberapa sifat antibodi susu mungkin berkurangan.

Jika anda sudah mempunyai jumlah besar stok susu perahan dalam freezer dan sebelum anda terpaksa membuang kesemuanya, anda mungkin boleh mencuba cara ini. Campurkan ia dengan sedikit susu yang baru diperah supaya bau dan rasanya dapat dikurangkan serta mudah dapat diterima oleh bayi anda. Campuran ini perlu dilakukan pada hari yang sama yang bayi anda akan minum. Cuba cara ini 2-3 kali dan lihat bagaimana penerimaan bayi anda. Jika bayi anda menerima susu campuran ini, alhamdulillah stok susu perahan yang dibekukan dapat digunakan untuk anak anda. Jikalau tidak, anda mungkin boleh sedekahkan sahaja kepada bayi yang lain atau buang sahaja.

Selain daripada cara yang disebut di atas, anda mungkin boleh mencuba menyimpan stok susu perahan dalam peti sejuk tanpa dibekukan. Ada dikalangan bayi yang boleh menerima susu perahan yang disejukkan tetapi bukan susu perahan yang dibekukan. Oleh kerana susu perahan boleh tahan dalam peti sejuk pada suhu 0 C-4 C sehingga 8 hari, anda boleh membina dan menyimpan stok susu perahan anda untuk 8 hari sahaja. Pastikan susu perahan disimpan di bahagian belakang peti sejuk!

Anda perlu cuba memberi susu perahan yang sudah disimpan selama 8 hari kepada bayi anda dan lihat responnya. Jika ia tidak mahu minum, cuba kurangkan kepada 7 hari, 6 hari dan seterusnya sehingga ia mahu minum. Jika bayi anda boleh menerima susu perahan yang disimpan selama 5 hari bermakna anda perlu membina stok susu perahan anda untuk 5 hari sahaja.

Kebanyakan bayi tidak mempunyai masalah dalam menerima susu perahan yang disejukkan, jadi eloklah anda menyimpan stok susu perahan mengikut hasil responnya. Mempunyai stok susu perahan untuk 3 hari sahaja pun adalah lebih daripada tidak ada stok langsung jika anda seorang ibu yang bekerja dan mahu menjayakan penyusuan bayi selama 2 tahun. Ini akan mengurangkan tekanan/stress kepada anda bagi memenuhi keperluan susu bayi anda. Jika anda stress, anda juga tidak mudah menghasilkan susu untuk anak anda. Jadi, stress perlu dielakkan sama sekali.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...